Tuesday, January 31, 2017

Travelog Tanah Asing , Korea Selatan

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة وبركاته

Bahagian 1 :

Sehari telah berlalu . Angin menghembus membawa pergi rinduku kepada tanah asing itu . Sepanjang 10 hari , mengembara sendiri , membawa diri , berjalan di tanah asing itu . Dari Seoul sampailah ke Busan . Dan dari situlah kisah ini diceritakan , mengenai segala apa yang aku lihat , dengar , hidu serta bau sepanjang keberadaanku di tanah asing itu .

Hari pertama , aku menjejakkan kakiku di Lapangan Terbang Incheon , Korea Selatan . Penerbangan selama 6 jam tanpa henti , duduk di atas kerusi yang hanya boleh kebelakang sedikit , makan nasi lemak diatas awan , hanya boleh memejamkan mata , menanti saat untuk mendarat . Untuk pertama kalinya , aku terbang dalam tempoh masa yang agak lama . Berbanding sepanjang pengalaman aku bersama kapal terbang , sekitar 1-3 jam sahaja . Itupun agak lama kerana keadaan tubuh badan yang 'terpenjara' . Apa boleh buat ? Tidur , bangun dari tidur , makan apa yang telah disediakan , tidur semula , beratur untuk ke tandas , duduk dan tidur semula . Itulah aktiviti aku sepanjang keberadaanku di atas awan selama 6 jam . Dan mungkin ada yang tertanya , mengapa aku tidak berborak dengan penumpang di sebelahku ? Maaf , aku kira , tiada bahasa yang boleh dijadikan pengantara antara aku dan juga dia . Bahasa Inggeris ? Penumpang itu , hanya tahu , ya atau tidak sahaja . Masakan , aku hanya ingin bertanyakan soalan yang memerlukan jawapan ya atau tidak sahaja . Itu bukan perbualan yang boleh dikatakan perbualan memecah kesunyian . Dan hanya apabila dia memerlukan bantuan yang memerlukan Bahasa Inggeris , maka itulah bantuan yang boleh aku berikan kepada dia .  Dan mataku dipejam , sehingga kapal terbang ini mula mencecah kebumi .