Monday, December 2, 2013

HIJRAH MENYELUSURI IBRAH

Alhamdulilah.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya dapat lagi kita menghidup udara tahun baru Islam yang sepatutnya lebih menarik umat Islam khususnya untuk cakna tentangnya. Walau bagaimanapun ia bukanlah berbentuk kewajipan yang perlu tetapi sekadar menzahirkan rasa izzah dalam diri dengan menyingkapi makna disebalik hijrah yang biasa dikaitkan dengan tahun  baru Islam ini.
Tahun yang baru bukan sahaja mempotretkan dunia ini semakin tua, bahkan manusia juga semakin berusia dan semakin hampir untuk bertemu dengan-Nya. Malangnya, dewasa ini suatu kegusaran melanda apabila kita mengalihkan pandangan pada sisi dunia untuk melihat penduduknya. Ramai dalam kalangan mereka seakan sudah hilang identiti muslim yang sebenar apabila mereka semakin menanggalkan  Islam sebagai pakaiannya. Yang ada, ramai yang berkiblat kerosakan yang disajikan oleh musuh umat ini sendiri!
Namun…..
Tidakkah manusia itu sedar kehidupan di dunia ini bersifat sementara?
Dalam kesementaraan itu pula manusia dituntut sepenuh mengabdikan diri pada yang Esa?
Bukan untuk menyesali kesilapan tanpa sebarang bentuk perubahan. Manusia itu lemah tetapi bukan bererti ia sentiasa terkalah. Manusia bisa bangun dari segala bentuk kepekatan jahilliyahdalam diri dengan syarat sanggup mengorbankan semua bentuk kesenangan daripada diri, harta bahkan mungkin nyawa. Oleh itu, hijrah ke suatu peribadi dan suasana yang lebih baik dituntut supaya manusia tidak kekal dipenjara minda rasa putus asa dengan dosa dengan beranggapan ia tidak bisa diampunkan.


Ibrah Hijrah mengajar erti berserah (penyerahan)

Hijrah pada dasarnya mengungkap ajaran penting yang terselit dalam pengalaman Nabi s.a.w iaitu sikap berserah diri pada tuhan yang menuntut lepas dari segala pergantungan lain terhadap manusia dan keseluruhan makhluk umumnya tanpa kesombongan mutlak kepada Allah s.w.t. Hijrah yang dilakukan oleh baginda s.a.w dahulu mungkin berbeza dengan situasi pada zaman kita hari ini iaitu berbbentuk penghijrahan diri. Ironinya, elemen kesabaran itu masih dituntut pada kedua-dua situasi yang akhirnya membuah rasa penyerahan sepenuhnya kepada Allah.
Namun, apa yang perlu dititikberatkan adalah  makna penyerahan atau tawakkal ini. Ia bukan penyerahan bulat semata-mata tanpa ada iringan usaha dan hanya mengharap natijah yang sempurna. Bahkan ia menuntut manusia supaya merancang bentuk kejayaan yang diingini di samping cuba merealisasikannya dalam bentuk usaha yang bersungguh seterusnya barulah menggapai tangga terakhir iaitu bertawakkal.
Lihat kebijaksanaan baginda s.a.w dan sahabatnya Abu Bakar r.a ketika perjalanan hijrah mereka ke Madinah. Abu Bakar r.a menanam rasa tabah dalam diri anak-anak beliau untuk sama-sama membantu dalam peristiwa ini tanpa mengira jantina seperti yang diajarkan nabi s.a.w. Abdullah bin Bakar bertugas untuk memerhati gerakan orang quraisy seterusnya menyampaikan berita tersebut kepada ayahnya. Manakala puteri-puterinya tiada rasa gentar untuk membantu menghantar hidangan ke Gua Thur.
Setelah perancangan yang  strategic disusun, juga perlaksanaan yang rapi diusahakan, baginda dan sahabatnya tetap harus melalui suatu lagi cubaan apabila sekelompok Quraisy hampir menemui mereka dalam Gua Thur. Ketika itu, terbit kerisauan dalam diri Abu Bakar r.a sekiranya kedudukan mereka berjaya dikesan. Namun, Rasulullah s.a.w bertindak menenangkan beliau dengan berbisik:
Jangan takut, Allah bersama kita.
Kemudian baginda menambah, “bagaimana fikiranmu jika ada dua orang dan yang ketiganya adalah Allah?
Sikit sebanyak ia mententeramkan Abu Bakar r.a selain dengan izin-Nya orang Quraisy tidak berjaya menemukan mereka atas kuasa Allah menutupi lubang gua tersebut dengan sarang lelabah. Inilah puncak tawakkal yang sebenar. Berserah setelah merancang dan berusaha dan menyerahkan jalan keluar daripada kesempitan yang masih diuji kepada pemilik keluasan yang hakikki.
Dalam Al-Quran Allah mengaitkan hijrah itu dengan kesabaran dan tawakkal:
Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.[41]
Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.[42]
An-Nahl: 41-42

Hijrah menetapkan pendirian dan ujian membezakan kebatilan (pengasingan)

Hijrah adalah suatu bentuk pengasingan. Semua nabi-nabi terdahulu tidak terkecuali Muhammad s.a.w juga pernah melaluinya malah sanggup menghadapinya. Di sini ujian bagi mereka yang berhijrah untuk menilai sejauhmana mereka bersiap sedia untuk menghadapinya? Justeru, hijrah ini salah satu jawapan kepada masyarakat muslim pada masa awal kehadiran mereka. Ertinya, pengasingan juga menuntut kaum muslim awal agar selalu belajar untuk tetap setia terhadap makna ajaran islam di tengah perubahan tempat, budaya, dan memori.
Madinah yang terkandung dalamnya pelbagai jenis suku kaum yang berbeza meskipun dalam kalangan arab ditambah wujudnya komuniti Yahudi dan Kristian merupakan suatu pengalaman baharu bagi umat Islam. Mereka perlu lebih belajar untuk bergaul bersama komuniti yang baru ini yang mana sudah tentu berbeza dari sudut pegangan dan corak kehidupan.
Oleh itu, hijrah juga merupakan ujian bagi kecerdasan manusia yang menuntut keperluan untuk membezakan prinsip-prinsip Islam dengan manifestasi budayanya, lebih jauh lagi ia memperlihatkan kertebukaan dan penerimaan atas kebiasaan-kebiasaan baharu, cara baharu dalam bertindak dan berfikir, dan cita rasa baharu dalam bertindak dan berfikir.
Menyelami realiti sebahagian besar manusia pada masa kini, sudah tentunya pernah mengalami bentuk pengasingan diri terutama ketika berada dalam dunia mahasiswa dan juga ketika alam rumahtangga. Pengasingan dari keluarga untuk membentuk rangka idea dan ilmu mahasiswa kadang-kadang menyebabkan mereka mudah terikut suasana yang kurang sihat.
Tetapi hakikatnya ia sebahagian daripada ujian kepada diri mereka sendiri untuk membentuk kematangan dalam membuat pilihan dalam suasana yang berbeza dengan cuba mengasingkan nilai-nilai kebatilan dan juga mutiara murni keimanan. Selain itu, ia juga mendidik kebijaksanaan dalam pemilihan teman seperjuangan untuk membantu mencapai hadaf mereka tersendiri.
Mereka yang berjaya akan menjadi seperti kaum Muhajirin yang berkorban dari pelbagai sudut di samping perlu membiasakan diri dengan tempat yang asing namun masih kukuh atas bantuan kaum Ansar  yang akhirnya diiktiraf Allah keimanan mereka dalam Al-Quran.

Hijrah dari tuhan-tuhan palsu dan dosa (pembebasan)
Hijrah juga merupakan pengalaman tentang pembebasan, baik secara sejarah ataupun spiritual. Nabi Muhammad s.a.w telah membawa pengikutnya yang beriman untuk berhijrah ke Madinah setelah berlaku penindasan terhadapa mereka samada berbentuk harta benda, disita dan dipulaukan lebih lagi berbentuk kepercayaan dihalangkan untuk menzahirkan keimanan.
Di sini menggambarkan hijrah itu juga membawa manusia kearah pembebasan yang baik dalam semua aspek terutamanya dalam hal keimanan yang merupakan pembebasan hakiki meskipun kelihatan seperti kehidupan mereka dalam suasana hijrah tidak begitu menyenangkan tetapi disebabkan pemikiran dan hati tidak lagi terkurung dalam kotak jahiliyah maka mereka sanggup untuk meneruskan langkah kepada perubahan.
Justeru itu, hijrah merupakan pengasingan kesedaran  hati manusia daripada tuhan-tuhan palsu daripada keterasingan segala sesuatu serta kejahatan dan dosa selain memalingkan diri daripada berhala zaman ini berbentuk kekuasan, wang, hiburan, dan sebagainya. Juga dalam aspek lain seperti kehidupan tidak bermoral, membebaskan diri melalui penggalaman keterpisahan daripada semua bentuk kebebasan ini secara mutlak .

Kesimpulan: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah.
Tiada lagi penghijrahan yang dimaksudkan di sini adalah yang bersifat fizikal, suatu tindakan yang membentuk masyarakat muslim paling awal dan paksi keimanan pengalaman mereka, kini telah usai dan tidak akan terulang lagi, seperti yang dijelaskan oleh Aisyah r.a kepada orang-orang di Madinah yang hendak menghidupkan kembali pengalaman tersebut.
Umar Al-Khattab r.a kemudian menetapkan yang peristiwa unik ini menandai awal zaman Islam yang dimulai tahun 622 Masihi. yang tersisan dan terbuka bagi semua orang pada sepanjang masa dan untuk selamanya adalah pengalaman pengasingan spiritual yang membawa kembali setiap individu menuju diri mereka sendiri dan membebaskannya daripada ilusi diri dan dunia.
Pengasingan kerana Allah semata-mata pada hakikatnya adalah serangkaian pertanyaan yang diajukan   Yang Esa kepada setiap individu:
Siapa dirimu?
Apa makna hidupmu?
Ke mana engkau akan pergi?  
Mereka yang menerima risiko pengasingan semacam itu, meyakini Rabb mereka dengan menjawab:
“Kepada-Mu aku kembali dan aku terbebas!” 
cc : langitilahi.com

No comments:

Post a Comment