Ramai orang bercita-cita menjadi orang-orang besar. Tetapi kadangkala mereka silap mendefinisikan siapakah itu orang-orang besar?
Apakah orang-orang besar itu adalah orang yang bergaji tinggi, berkedudukan hebat, berpangkat besar, berpakaian kot hitam tuxedo, rumahnya besar, memiliki pemandu keretanya sendiri, pergi ke mana-mana disambut orang, katanya ditepuk-tepuk oleh orang biarpun salah, apakah itu orang-orang besar yang sebenarnya?
Kerana selalu ada di minda kebanyakan orang bahawa begitulah cirinya orang-orang besar, maka ada sebilangan menggunakan jalan mudah untuk sampai ke situ. Akhirnya, putaran kebodohan akan saban zaman berulang. Biarlah yang naik itu pandir sekalipun, baik di kedudukan-kedudukan atasan seperti pembesar, menteri, CEO syarikat dan apa-apa jua yang dikatakan sebagai orang-orang besar itu asalkan ada habuan kaya raya dan berpangkat tinggi. Biar tak pandai mengurus ummat, asalkan bisa punya jawatan dan pangkat hebat.
Pak Gus Mus, seorang penyair masyhur Indonesia, menyindir sikap begini dalam syairnya yang sangat menarik :
“Ingat, jangan sampai jadi orang kecil,
Orang kecil kalau ikhlas diperas,
Jika diam ditikam,
Jika protes dikentes,
Jika usil dibedil.
Orang kecil kalau ikhlas diperas,
Jika diam ditikam,
Jika protes dikentes,
Jika usil dibedil.
Orang kecil bila jujur ditipu,
Jika menipu jujur,
Jika bekerja diganggu,
Jika menggangu dikerjakan.
Jika menipu jujur,
Jika bekerja diganggu,
Jika menggangu dikerjakan.
Lebih baik jadi orang besar,
Bahagianya selalu besar,
Orang besar jujur tak jujur makmur,
Benar tak benar dibenarkan,
Zalim tak zalim dibiarkan.
Bahagianya selalu besar,
Orang besar jujur tak jujur makmur,
Benar tak benar dibenarkan,
Zalim tak zalim dibiarkan.
Orang besar boleh bicara semahunya,
Orang kecil paling jauh dibicarakannya saja.
Orang kecil paling jauh dibicarakannya saja.
Orang kecil jujur dibilang tolol,
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurang ajar,
orang besar kurang ajar dibilang berani.
orang besar kurang ajar dibilang berani.
Nabi Dan Para Sahabat Adalah Orang Besar Dunia Juga
Kalau tafsiran orang besar adalah begitu dalam minda kita, maka Nabi s.a.w. dan para sahabat bukanlah dari kalangan itu.
Aneh. Sedangkan dunia mengiktiraf Nabi s.a.w. sebagai pemimpin yang paling berjaya, hatta dunia Barat juga. Mustahil Nabi bukanlah orang besar. Mustahil para sahabat yang telah menjadi tapak kepada pengasasan tamadun Islam yang beratus tahun lamanya itu orang kecil.
Hanya orang besar bisa membentuk tamadun. Hanya orang besar yang mampu membina empayar yang bertahan lamanya beberapa abad.
Itulah kesilapan dalam meletakkan neraca orang kecil orang besar.
Nabi s.a.w. orang besar, tetapi pernah berlapar mengikat batu di perutnya kerana tidak memiliki apa-apa makanan. Seorang pemimpin besar pernah tidak punya apa-apa makanan? Ajaib benar kalau itu berlaku kepada kita hari ini, bukan?
Abu Bakar as-siddiq, orang besar selepas Rasul s.a.w., juga bukanlah orang yang berbangga-bangga atas harta yang dimilikinya, bahkan pernah dalam perang bersama Rasul s.a.w., beliau menginfakkan semua hartanya tanpa ada keraguan atau rasa resah dalam jiwanya.
Umar Al-Khattab, orang besar juga. Khalifah Islam yang zamannya Islam berkembang ke pelbagai pelusuk alam. Daerah Islam mula meluas. Perkembangan ijtihad dan fiqh-fiqh baru mula diperlukan. Tetapi saat dibawa pembesar Parsi datang bertemu dengannya, Umar hanya tidur berlapikkan tangan di bawah pohon kurma tanpa ada pengawal yang menjaganya, dengan pakaian yang sederhana cuma. Umar orang besar, tetapi mana katil empuknya? Mana pemandu dan pengawalnya? Mana segala kekayaan dan hartanya?
Tidak ada. Kerana kecil besarnya mereka bukanlah ditentukan oleh itu semua.
Kita hari ini merasa besar dengan semua itu, tetapi sebenarnya kita ini kecil sahaja. Harta banyak, ada pangkat, ada nama, tetapi kita bukanlah orang yang besar sebenarnya.
Yang Sepatutnya Menentukan Besar Kecil
Orang yang ditentukan besar kecilnya kerana harta, pangkat, kedudukan dan nama tidak akan bertahan lama.
Hari ini mungkin dia dikenali orang dan dihargai kerana semua itu yang dimilikinya.
Esok ketika dia tidak lagi memiliki apa-apa, mungkin tiada siapa lagi yang mengenali dirinya.
Biarlah yang menentukan besar kecil kita itu adalah iman dan kemampuan diri kita, ilmu serta bakti kita dalam masyarakat.
Iman itu kekal tahan lama sampailah di depan Tuhan. Yang akan menjadi pandu arah untuk kita terus jujur atau tidak ketika mendapat jawatan-jawatan besar, harta yang banyak adalah iman kita. Hilang iman, binasalah kita.
Kalau memang kita bukanlah orang yang berkemampuan dan berkelayakan untuk memegang tampuk-tampuk penting dalam pemerintahan, atau mendapat harta yang banyak, atau memegang pangkat-pangkat, maka sebaiknya kita tidak memegangnya.
Abu Dzar pernah meminta jawatan kepada Nabi s.a.w., tetapi kemudian Nabi justeru membalasnya :
“Sesungguhnya kamu lemah (tak mampu) sedangkan jawatan itu adalah amanah.”
Ilmu dan bakti itu harganya khazanah yang kekal berzaman.
Sehingga sekarang orang masih menceritakan perihal akhlak dan peribadi Rasul s.a.w. kerana itu adalah contoh terhebat yang tidak akan dapat dipadam dalam rantaian sejarah. Sehingga sekarang orang masih meriwayatkan kisah-kisah bakti dan budi yang hebat di kalangan para sahabat.
Mereka telah tiada, tetapi kisah-kisah mereka terus mengalir dalam darah dan semangat ummat.
Sebab itu, harta, nama, pangkat dan apa jua yang berbentuk duniawi ini mungkinlah mendapat puji puja manusia di atas dunia, namun ilmu, budi dan bakti yang memang terbukti lebih memikat hati manusia kekal sampai selepas mati.
Penutup : Orang Besar Segera Ramai, Tetapi Jadi Beban Kepada Masyarakat
Hari ini ramai ‘orang besar segera’.
Mahu cepat naik ke kedudukan tinggi, mahu cepat kaya, mahu nama dikenali dan masyhur, tetapi diri sendiri tidak berkemampuan, tidak punya apa yang bisa diberi kepada masyarakat.
Umpama makanan segera, mengenyangkan untuk seketika tetapi membahayakan.
Begitulah orang besar segera. Mengisi ruang kekosongan tetapi membebankan masyarakat.
Keputusannya meletakkan masyarakat dalam bahaya, bicaranya selalu pakai perasaan tak pakai akal, diharapkan agar dapat memimpin dan membantu masyarakat, tetapi dengan kehadirannya membuatkan masyarakat merasa lebih resah dan keliru.
Persiapkanlah diri kita sebaiknya. Masyarakat kita tidak perlukan orang besar segera ini.
Masyarakat kita benar-benar perlukan orang besar, yang berjiwa besar, dengan akal dan pertimbangan yang benar serta penuh pula sabar untuk tidak menghalau masyarakatnya sendiri yang dirasakan berbeza pendapat dengan dirinya.
Bercita-citalah menjadi orang besar semisal para sahabat Nabi s.a.w. Dunia yang dimiliki tidak menggelapkan mata kepala dan mata hati mereka sebaliknya mereka pula yang mengawal dunia di bawah tangan-tangan mereka.
Kita bukanlah orang besar kalau kita dikawal oleh dunia sehingga menutup segala sikap jujur dan baik kita, membutakan mata akal dan hati kita daripada melihat kebenaran.
cc: langitilahi.com


No comments:
Post a Comment