1) Kita berdukacita dengan peristiwa tragis yang menimpa rakyat Mesir semalam, 14 Ogos 2013. Peristiwa yang telah menyaksikan pembunuhan ribuan rakyat Mesir dan telah menyebabkan puluhan ribu kecederaan itu adalah antara peristiwa terburuk dalam sejarah kemanusiaan. Kami di LangitIlahi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pembunuhan yang telah dilakukan oleh tentera Mesir di bawah pemimpin kudeta, Jeneral As-Sisi terhadap rakyat Mesir yang sepatutnya dilindungi oleh mereka.
2) Mesir sesungguhnya adalah bumi yang termaktub namanya di dalam Al-Quran. Di bumi ini, pernah dinukilkan kisah pemerintah yang baik sebaik Yusuf a.s. dan juga pemerintah yang zalim sezalim Firaun. Suatu ketika, Nabi Yusuf a.s. yang memegang tampuk pemerintahan di Mesir ketika itu pernah mengucapkan kepada keluarganya saat kedatangan keluarganya ke Mesir,
“Masuklah kamu ke negeri Mesir, InsyaAllah dalam keadaan aman.” [Yusuf : 99].
Pemerintah yang baik adalah pemerintah yang berusaha mewujudkan suasana aman di dalam hati rakyatnya dan di negaranya. Apa yang telah dilakukan oleh tentera dan kumpulan kudeta mereka pada hari ini di Mesir telah menyebabkan rakyat menderita dan kehilangan rasa aman. Firaun ketika mahu memperlakukan Mesir sesuka hatinya telah mengatakan dengan penuh rasa bongkak :
“Wahai kaumku ! Bukankah kerajaan Mesir itu milikku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku? Apakah kamu tidak melihat?” [Az-Zukhruf : 51].
Walaupun di bawah pemerintahan Firaun, ramai orang tidak bersalah dibunuh, namun pengakhiran hayat Firaun telah menjadi bukti pembalasan Allah s.w.t. kepada orang yang zalim.
3) Dunia Islam mengutuk tindakan zalim yang dilakukan oleh regim Zionis terhadap penduduk di Palestin, namun menjadi suatu peristiwa yang mendukacitakan bilamana pemerintah yang berwajah Islam di negara Islam seperti Mesir dan Syria melakukan tindakan yang lebih tragis berbanding Zionis dengan membunuh rakyat mereka sendiri. Harus kita persoalkan tindakan pemimpin negara Arab yang lain seperti Arab Saudi dan UAE yang telah mengucapkan tahniah atas peristiwa kudeta pada 30 Jun lepas yang kini berdiam diri atas peristiwa pembunuhan tragis yang menimpa rakyat Mesir. Di manakah mereka yang telah mengucapkan tahniah kepada rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera Mesir hari ini? Apakah darah dan nyawa rakyat biasa yang berkumpul di Medan Rabaah dan An-Nahdah ini lebih murah nilainya berbanding nyawa tentera? Sesungguhnya tidak ada perbezaan nilai antara darah rakyat dan tentera melainkan kemuliaan darah itu pada siapa yang lebih adil dan lebih taqwanya di sisi Allah.
4) Kami menolak sekeras-kerasnya tindakan zalim dengan menggunakan peluru hidup, rifel mahupun apa jua senjata ketenteraan dalam meleraikan penduduk Mesir di Medan Rabaah Adawiyah dan dataran-dataran yang lain kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan mungkin mengundang konflik yang lebih besar sebagaimana yang terjadi di Syria. Akan terjadi lebih banyak pembunuhan dan rakyat tidak akan semakin tunduk bila mereka dizalimi, bahkan mereka mungkin akan bangkit lagi. Pihak tentera yang melakukan kudeta ini sepatutnya bertanggungjawab atas rakyat selepas rampasan kuasa yang mereka sendiri lakukan, bukan dengan membunuh dan melukakan lebih ramai rakyat di bawah pimpinan haram mereka. Tindakan membunuh rakyat ini hanya menimbulkan lagi semangat dan perjuangan mereka untuk menuntut keadilan bagi sebuah proses demokrasi. Penyelesaian yang wajar adalah dengan mengembalikan semula mandat pemerintahan ini kepada hasil proses demokrasi yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.
5) Kepada media-media perdana khususnya di Malaysia, berlaku adillah dalam menyebarkan berita tentang apa yang berlaku di Mesir. Dukacitanya jika pembunuhan yang telah berlaku secara kejam ini ditambah lagi pula dengan sikap berat sebelah media-media perdana dalam menyiarkan khabar tentang hal ini. Janganlah media-media perdana menambahkan lagi kelukaan yang ada dengan menyebar berita-berita palsu serta menyebelahi mereka yang melakukan kezaliman.
6) Kami berasa terkilan dengan golongan yang tidak konsisten dengan perjuangan demokrasi yang mereka sering canangkan. Sewaktu Morsi memerintah, golongan inilah yang menggalakkan demonstrasi menentang Morsi atas nama demokrasi, bahkan ditambah lagi dengan segelintir daripada mereka yang bertindak agresif dengan membakar pejabat Ikhwanul Muslimin dan membunuh rakyat tidak berdosa ketika itu. Namun, mereka bersikap sebaliknya pula apabila rakyat turun berdemonstasi, dalam keadaan AMAN pula, menentang kezaliman Jeneral As-Sisi dan pihak tentera yang merampas kuasa dan membunuh pula rakyat Mesir. Dalam keadaan Mesir yang begitu kritikal dari sudut ekonomi, iklim politik dan sosialnya, apakah golongan yang dinamakan sebagai tamarrod ini tidak dapat berfikir dengan wajar akan kesusahan untuk membaikpulih semula keadaan Mesir dalam tempoh tidak sampai setahun pemerintahan Morsi?
7) Akhirnya, kami merakamkan jutaan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan menjadi syuhada’ dalam peristiwa tragis di Mesir ini. Semoga Allah mengumpulkan mereka di syurga. Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama berdoa untuk saudara-saudara kita di Mesir. Bagi mereka yang berkesempatan, sertailah solat dan munajat perdana yang dianjurkan di tempat-tempat tertentu. Usahakan apa yang termampu untuk membantu mereka. Peristiwa Mesir adalah satu peringatan buat muslim di seluruh dunia agar kita tidak lalai untuk terus mempertingkatkan diri, membaiki hubungan kita dengan Allah serta meningkatkan persediaan kita dalam menuju kemenangan Islam.
Semoga Allah membantu dan menguatkan mereka.
Pic by FB Mesirkini.
cc :~Afdholul Rahman CA~[Ketua Bahagian LangitIlahi.com]


No comments:
Post a Comment