بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة وبركاته
Bahagian 1 :
Sehari telah berlalu . Angin menghembus membawa pergi rinduku kepada tanah asing itu . Sepanjang 10 hari , mengembara sendiri , membawa diri , berjalan di tanah asing itu . Dari Seoul sampailah ke Busan . Dan dari situlah kisah ini diceritakan , mengenai segala apa yang aku lihat , dengar , hidu serta bau sepanjang keberadaanku di tanah asing itu .
Hari pertama , aku menjejakkan kakiku di Lapangan Terbang Incheon , Korea Selatan . Penerbangan selama 6 jam tanpa henti , duduk di atas kerusi yang hanya boleh kebelakang sedikit , makan nasi lemak diatas awan , hanya boleh memejamkan mata , menanti saat untuk mendarat . Untuk pertama kalinya , aku terbang dalam tempoh masa yang agak lama . Berbanding sepanjang pengalaman aku bersama kapal terbang , sekitar 1-3 jam sahaja . Itupun agak lama kerana keadaan tubuh badan yang 'terpenjara' . Apa boleh buat ? Tidur , bangun dari tidur , makan apa yang telah disediakan , tidur semula , beratur untuk ke tandas , duduk dan tidur semula . Itulah aktiviti aku sepanjang keberadaanku di atas awan selama 6 jam . Dan mungkin ada yang tertanya , mengapa aku tidak berborak dengan penumpang di sebelahku ? Maaf , aku kira , tiada bahasa yang boleh dijadikan pengantara antara aku dan juga dia . Bahasa Inggeris ? Penumpang itu , hanya tahu , ya atau tidak sahaja . Masakan , aku hanya ingin bertanyakan soalan yang memerlukan jawapan ya atau tidak sahaja . Itu bukan perbualan yang boleh dikatakan perbualan memecah kesunyian . Dan hanya apabila dia memerlukan bantuan yang memerlukan Bahasa Inggeris , maka itulah bantuan yang boleh aku berikan kepada dia . Dan mataku dipejam , sehingga kapal terbang ini mula mencecah kebumi .
Lapangan Terbang Incheon , Korea Selatan .
Lapangan terbang yang aku kira , maju berbanding Malaysia . Bukan Malaysia mundur . Namun jauh beberapa kedudukan di belakang Incheon . Dan saat inilah , aku merasakan yang aku mulai berada di dalam dunia baru . Turun sahaja dari kapal terbang , syukur , salji mulai turun menghiasi bumi . Saat ini , pertama kali aku rasa , melihat salji yang turun dari langit , membasahi bumi . Adrenalinku meningkat . Aku seronok . Kiranya , salah satu misi di tanah asing ini tercapai . Melihat salji . Dan setelah melalui imigresen , untuk makluman , teman-teman , perlu tahu dimana penginapan kita sepanjang keberadaan kita di sana . Kerana , mungkin itu akan memudahkan pihak imigresen untuk mengenal pasti dimana kita berada , jika ada beberapa hal yang memerlukan mereka untuk mencari kita . Selesai berurusan dengan pihak imigresen , ambil bagasi , dan meluncur keluar ke ruang ketibaan . Mataku ligat mencari kelibat rakanku , Richard Kim atau nama Islamnya , Alif . Aku pelik kenapa dia memilih nama Alif saat diberi pilihan untuk memilih nama dia setelah memeluk Islam . Baginya , Alif itu adalah huruf hijaiyah yang berkedudukan no. 1 dalam huruf-huruf hijaiyah . Dan Alif itu juga awal kalimah bagi Islam untuk Bahasa Melayunya . Bagiku , nampak cerdik juga dia ini . Hahaha . Dan akhirnya , mataku dapat menangkap kelibat dia . Dia bersama isterinya , maaf , aku lupa nama Korea nya , tapi nama Islamnya , Fatimah . Aku rasa agak cemburu bila melihat mereka . Sudahlah berkahwin , bagai pinang dibelah dua . Sama bijak , sama sedondon . Ah , indahnya cinta !
Aku menegur dia . Tangan dihulur tanda salam . Berpelukan tanda lama sudah tidak berjumpa . Kali terakhir berjumpa , dia ke Singapura untuk urusan kerja , dan melencong melawatku di Malaysia . Dan dia bertanya kepadaku , sudahkah aku menunaikan solat ? Aku menjawab , belum . Aku terlupa untuk solat di atas awan tadi . Dan dia menyuruh untuk aku segera menunaikan solat sebelum waktu Asar habis . Kes aku di tandas pula , kubikel-kubikel tandas nya tidak ada kepala paip . Terpaksalah aku mengambil wuduk di singki sahaja . Ah , sejuk-sejuk buka kasut , buka stokin . Selesai wuduk , terus keluar , dan dia menyuruh aku siap untuk solat di tempat yang bukan orang lalu-lalang . Pengalaman baru , lihat salji , kubikel tandas tiada kepala paip , dan kini solat bukan di surau . Hanya di tempat yang sedikit sahaja orang lalu-lalang . Alif menjaga ku sehingga aku selesai solat jama' antara Zohor dan Asar . Dan selepas itu , dia menyuruhku untuk bersiap-siap menukar pakaian yang lebih tebal . Mungkin agak hairan kerana aku rasa , pakaian yang sedia ada sudah cukup memadai . Ah , ikut sahaja lah . Dia lebih tahu tentang keadaan negara ini berbanding aku . Dan kehairanan aku hilang , saat melangkah keluar dari pintu lapangan terbang menuju ke keretanya , keadaan yang amat sejuk sehingga asap keluar dari mulut persis yang aku lihat didalam kaca tv . Nasib aku ikut cakap si Alif ini . Kalau tidak , mati kesejukan aku rasa . Perjalanan ke keretanya mengambil masa 10 minit . Dan aku lihat tanah Korea semuanya diliputi salji . Kecuali jalan raya nya berwarna hitam sama seperti Malaysia . Ada jalan warna lain ka ? Hahaha . Keadaan jalan yang agak basah mungkin kesan dari salji yang mula mencair .
Sampai ke kereta Alif , Alif menyuruhku , untuk duduk dihadapan sementara isterinya duduk di bahagian belakang . Selesai memasukkan bagasi , aku bergerak menuju pintu penumpang di sebelah kiri . Buka pintu , aku hairan , kenapa ada stereng , ada pedal minyak , brek di bawah , ini tempat pemandu . Bukan tempat penumpang . Ah , aku lupa , ini Korea . Stereng di belah kiri kereta . Alif hanya tertawa melihat mukaku . Nasib kau Alif . Belum beberapa jam menjejakkan kaki di bumi asing ini , Alif sudah mengenakan aku . Dan aku terus bergerak ke sebelah kanan , untuk menjadi penumpang . Dan perjalanan ke rumah Alif bermula .
Pada malam harinya , aku tidak kemana-mana . Mungkin keadaan badan yang agak letih , kesan dari penerbangan selama 6 jam . Dan aku hanya menikmati makan malam , masakan Korea , hasil air tangan isteri Alif . Dan selesai makan , aku tidur , berehat , menikmati kesejukan dan kepanasan , kerana di lantai , kebiasaanya , orang Korea ini suka meletakkan heater di bawah lantai . Selamat malam Korea 😀


No comments:
Post a Comment