Tuesday, December 3, 2013

SEMBOYAN SPM SUDAH BERBUNYI !

Bismillah .

Assalammualaikum w.b.t

Akhirnya , zaman 96 sudah berakhir dalam era persekolahan 2013 . next year , it will be my turn pulak . nervous ada , takut ada , semua ibarat dalam satu aliran . hahaha . lagipun , satu tahun je lagi tinggal sebelum meninggalkan zaman persekolahan . lepas itu , zaman di mana survival itu wujud . after that ,  mesti rindu zaman persekolahan , cikgu-ii , kawan-ii , and every single thing yang bole ingatkan pasal sekolah , always be in our mind .
"Zaman lepas habis sekolah , sangat berbeza dengan zaman persekolahan. Dekat sekolah , ada yang mengingatkan pasal pelajaran , tarbiah , biah islamiyyah . Itu semua jika nak , kene pandai-ii cari la." ( senior-ii sekolah)

Monday, December 2, 2013

AKU INGIN MENJADI BAIK !

“Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.
KEINGINAN UNTUK BERUBAH
Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar ‘setan’ itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
“Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu.”
BERSYUKUR
Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.
Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah ‘belum sampai seru!’ alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?
HIDAYAH NALURI
Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.
HIDAYAH AGAMA
Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.
HIDAYAH TAUFIK
Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,
“Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.”
Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

HIJRAH MENYELUSURI IBRAH

Alhamdulilah.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya dapat lagi kita menghidup udara tahun baru Islam yang sepatutnya lebih menarik umat Islam khususnya untuk cakna tentangnya. Walau bagaimanapun ia bukanlah berbentuk kewajipan yang perlu tetapi sekadar menzahirkan rasa izzah dalam diri dengan menyingkapi makna disebalik hijrah yang biasa dikaitkan dengan tahun  baru Islam ini.
Tahun yang baru bukan sahaja mempotretkan dunia ini semakin tua, bahkan manusia juga semakin berusia dan semakin hampir untuk bertemu dengan-Nya. Malangnya, dewasa ini suatu kegusaran melanda apabila kita mengalihkan pandangan pada sisi dunia untuk melihat penduduknya. Ramai dalam kalangan mereka seakan sudah hilang identiti muslim yang sebenar apabila mereka semakin menanggalkan  Islam sebagai pakaiannya. Yang ada, ramai yang berkiblat kerosakan yang disajikan oleh musuh umat ini sendiri!
Namun…..
Tidakkah manusia itu sedar kehidupan di dunia ini bersifat sementara?
Dalam kesementaraan itu pula manusia dituntut sepenuh mengabdikan diri pada yang Esa?
Bukan untuk menyesali kesilapan tanpa sebarang bentuk perubahan. Manusia itu lemah tetapi bukan bererti ia sentiasa terkalah. Manusia bisa bangun dari segala bentuk kepekatan jahilliyahdalam diri dengan syarat sanggup mengorbankan semua bentuk kesenangan daripada diri, harta bahkan mungkin nyawa. Oleh itu, hijrah ke suatu peribadi dan suasana yang lebih baik dituntut supaya manusia tidak kekal dipenjara minda rasa putus asa dengan dosa dengan beranggapan ia tidak bisa diampunkan.

BERINTERAKSI DENGAN MASA MUDA

Masa adalah suatu bentuk penciptaan Allah yang ajaib.Ia tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Setiap insan pasti pernah lalui masa lampau dan bakal menjalani masa depan. Tetapi masa tidak berkait dengan Allah kerana ia juga makhluk. Sebab itu wujudnya Allah itu tiada permulaan dan pengakhiran kerana semuanya dibawah kuasa Allah.
Masa sebenarnya menjerat manusia jika ia dibiarkan berlalu sia-sia. Masa lalu tidak bisa diputar kembali walau sebanyak mana harta yang kita punya untuk dijadikan sebagai ganti. Namun begitu, ia bukan suatu perkara yang perlu disesali kerna apa yang penting masa hadapan yang bakal kita tempuhi bagaimana cara terbaik untuk kita kemudi?
Dalam al-Quran sering Allah bersumpah dengan masa bahkan secara jelas disebutkan pada setiap waktu itu, sama ada pagi, petang atau malamnya. Yang pasti, manusia itu pasti dalam kerugian pada setiap detik yang berlalu itu seperti yang disebutkan oleh Allah. Pun begitu, mereka yang berusaha memanfaatkan masa dengan sebaiknya, maka mereka inilah tergolong dalam golongan yang beruntung baik pada dunianya mahupun akhirat.
Masa itu kehidupan.Pepatah yang sering dikait bila disebut mengenai masa. Dan kehidupan manusia yang paling utama adalah ketika mana dalam usia mudanya baik untuk manfaat dunia lebih lagi manfaat akhirat. Bagaimana?
Jika seseorang berhajatkan dunia semata, masa muda menjadi waktu yang utama.Sewaktu kecil mungkin tanggungjawab ibubapa untuk menjaga mereka. Bila usia kian dewasa, mereka perlu berusaha belajar, bekerja bersungguh-sungguh untuk kejar cita-cita tersendiri. Kereta mewah?Rumah besar?Dan pelbagai impian yang sering menjadi idaman setiap insan.
Lebih lagi seseorang yang berhajatkan dunia dan akhirat.Dunianya sahaja tidak boleh ditinggalkan.Perlu tetap berusaha untuk mengecapi semuanya.Cuma, perlu tambahan usaha untuk bekalan hari kemudian berbentuk amalan.Apa yang penting di sini adalah setinggi atau sejauh mana cita-cita seorang manusia, walau apa jua matlamatnya, masa muda menjadi asset utama penentunya.

PENGAJARAN DARI ORANG-II BESAR

Ramai orang bercita-cita menjadi orang-orang besar. Tetapi kadangkala mereka silap mendefinisikan siapakah itu orang-orang besar?
Apakah orang-orang besar itu adalah orang yang bergaji tinggi, berkedudukan hebat, berpangkat besar, berpakaian kot hitam tuxedo, rumahnya besar, memiliki pemandu keretanya sendiri, pergi ke mana-mana disambut orang, katanya ditepuk-tepuk oleh orang biarpun salah, apakah itu orang-orang besar yang sebenarnya?
Kerana selalu ada di minda kebanyakan orang bahawa begitulah cirinya orang-orang besar, maka ada sebilangan menggunakan jalan mudah untuk sampai ke situ. Akhirnya, putaran kebodohan akan saban zaman berulang. Biarlah yang naik itu pandir sekalipun, baik di kedudukan-kedudukan atasan seperti pembesar, menteri, CEO syarikat dan apa-apa jua yang dikatakan sebagai orang-orang besar itu asalkan ada habuan kaya raya dan berpangkat tinggi. Biar tak pandai mengurus ummat, asalkan bisa punya jawatan dan pangkat hebat.
Pak Gus Mus, seorang penyair masyhur Indonesia, menyindir sikap begini dalam syairnya yang sangat menarik :
“Ingat, jangan sampai jadi orang kecil,
Orang kecil kalau ikhlas diperas,
Jika diam ditikam,
Jika protes dikentes,
Jika usil dibedil.
Orang kecil bila jujur ditipu,
 Jika menipu jujur,
Jika bekerja diganggu,
Jika menggangu dikerjakan.
Lebih baik jadi orang besar,
Bahagianya selalu besar,
Orang besar jujur tak jujur makmur,
Benar tak benar dibenarkan,
Zalim tak zalim dibiarkan.
Orang besar boleh bicara semahunya,
Orang kecil paling jauh dibicarakannya saja. 
Orang kecil jujur dibilang tolol,
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurang ajar,
orang besar kurang ajar dibilang berani. 
Orang kecil mempertahankan hak disebut pembikin onar,
Orang besar merampas hak disebut pendekar.”

BIDADARI SYURGA

Bismillah .

Assalammualaikum w.b.t.

Wanita. Nampak seperti lemah. Nampak seperti tidak bermakna. Dahulunya dunia menjadikannya semata-mata hamba. Tidak kurang sebagai simbol seks. Bahkan ada peradaban terdahulu menganggap perempuan itu sebahagian dari syaitan kerana banyak membawa fitnah kepada kehidupan.
Tetapi Islam datang membawa sinar kemuliaan. Wanita diangkat mulia. Dijaga. Bahayanya diakui, tetapi mulianya tidak dihilangkan begitu sahaja. Wanita-wanita yang mengambil Islam sebagai cara hidup, terus menjadi seperti bidadari. Mahal. Berjalan di atas dunia dan dicemburui bidadari-bidadari Syurga.
Artikel ini sekadar menunjukkan cebisan-cebisan jejak Bidadari Dunia yang telah menembusi syurga. Semoga wanita-wanita yang masih hidup kini terasa mulia, dan ingin menjadi seperti mereka.
Kerana saya, seorang Adam nyata bahagia melihat bidadari-bidadari dunia.
Hawwa di sisi Adam.
Saya suka menggunakan cerita ini untuk menunjukkan betapa ‘mahal’nya seorang wanita.
Adam itu diciptakan di dalam syurga, yang segala-galanya sempurna. Tetapi nyata, kesempurnaan syurga itu tidak mampu mengisi jiwanya. Terasa dia sunyi dan sepi, hinggalah akhirnya diwujudkan buatnya Hawwa.
Mahalnya wanita adalah seperti syurga. Itu pada saya. Sebab itu ada lelaki, mereka fikir bila dapat wanita, mereka dapat segalanya. Sebab itu ada lelaki, sanggup gadai segala benda hanya untuk dapatkan seorang wanita.

Aku Dah Penat Berdoa !

Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa? Rasulullah S.A.W sendiri pernah rasa kecewa dan pernah berada dalam keadaan yang sangat sedih. Setiap orang pernah diuji dengan pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.

Kecewa?

Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?
“Aku sudah penat berdoa, tetapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat!”

Putus asa?

Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas. Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya. Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk ciptaan-Nya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita, dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu sebenarnya adalah baik untuk kita.
Sebagaimana penegasan Allah dalam kitab-Nya yang mulia al-Quran: 
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.” (Surah al-Baqarah:ayat 216)

Sunday, December 1, 2013

TRAGEDI MESIR BERDARAH

1)      Kita berdukacita dengan peristiwa tragis yang menimpa rakyat Mesir semalam, 14 Ogos 2013. Peristiwa yang telah menyaksikan pembunuhan ribuan rakyat Mesir dan telah menyebabkan puluhan ribu kecederaan itu adalah antara peristiwa terburuk dalam sejarah kemanusiaan. Kami di LangitIlahi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pembunuhan yang telah dilakukan oleh tentera Mesir di bawah pemimpin kudeta, Jeneral As-Sisi terhadap rakyat Mesir yang sepatutnya dilindungi oleh mereka.
2)      Mesir sesungguhnya adalah bumi yang termaktub namanya di dalam Al-Quran. Di bumi ini, pernah dinukilkan kisah pemerintah yang baik sebaik Yusuf a.s. dan juga pemerintah yang zalim sezalim Firaun. Suatu ketika, Nabi Yusuf a.s. yang memegang tampuk pemerintahan di Mesir ketika itu pernah mengucapkan kepada keluarganya saat kedatangan keluarganya ke Mesir,
“Masuklah kamu ke negeri Mesir, InsyaAllah dalam keadaan aman.” [Yusuf : 99]. 
Pemerintah yang baik adalah pemerintah yang berusaha mewujudkan suasana aman di dalam hati rakyatnya dan di negaranya. Apa yang telah dilakukan oleh tentera dan kumpulan kudeta mereka pada hari ini di Mesir telah menyebabkan rakyat menderita dan kehilangan rasa aman. Firaun ketika mahu memperlakukan Mesir sesuka hatinya telah mengatakan dengan penuh rasa bongkak :
“Wahai kaumku ! Bukankah kerajaan Mesir itu milikku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku? Apakah kamu tidak melihat?” [Az-Zukhruf : 51].
Walaupun di bawah pemerintahan Firaun, ramai orang tidak bersalah dibunuh, namun pengakhiran hayat Firaun telah menjadi bukti pembalasan Allah s.w.t. kepada orang yang zalim.